Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Dato’ Bentara Luar Johor Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 1915, Dato’ Mohd. Salleh bin Perang atau lebih dikenali dengan gelaran Dato’ Bentara Luar telah meninggal dunia.  Jasad beliau kemudiannya telah disemadikan di Makam Bukit Mahmudiah, Johor Bharu, Johor.  Dato’ Bentara Luar dilahirkan di Teluk Belanga, Singapura pada tahun 1841 dan keluarganya mempunyai kaitan rapat di kalangan Istana Johor sejak Johor di bawah pemerintahan Temenggung Abdul Rahman. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Agama, Sekolah Melayu dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Tuan Keasberry.  Semasa hayatnya, Dato’ Bentara Luar telah memberikan sumbangan yang besar kepada kerajaan negeri Johor.  Di antara sumbangannya ialah membuka serta membangunkan beberapa buah daerah seperti Muar pada tahun 1884, Endau dan Mersing pada tahun 1892 dan Batu Pahat pada tahun 1893.  Daerah-daerah yang dibukanya itu telah disediakan berbagai-bagai kemudahan asas seperti balai polis, sekolah, masjid, perbekalan air dan dibina jalan-jalan raya yang diukur dengan kemas, termasuk kerja-kerja mengukur sempadan.  Sebagai usaha menambahkan hasil pertanian, Dato’ Bentara Luar telah memperkenalkan sistem perparitan di Muar dan Batu Pahat, bagi memudahkan pengeluaran hasil-hasil pertanian seperti pinang, kelapa, sagu, buah-buahan dan hasil-hasil hutan seperti rotan dan damar.  Dato’ Bentara Luar mula menceburkan diri dalam perkhidmatan kerajaan sebagai seorang kerani pada tahun 1856.  Kecekapan dan kegigihannya menyebabkan beliau dilantik sebagai kerani di Balai Polis di Tanjung Puteri dan seterusnya sebagai Pesuruhjaya Polis mulai 9 Disember 1868.  Di antara tugas beliau adalah menjaga keamanan dan kestabilan negeri di samping bertanggungjawab terhadap ladang-ladang gambir dan lada hitam di Johor.  Beliau juga telah mempelajari ilmu ukur dengan Encik Langley dan Mejar McCulum bersama dengan Encik Yahya Awaludin.  Pengetahuan dalam ilmu ukur mengukur ini banyak membantu beliau dalam menyelesaikan sengketa sempadan Kangkar antara Kangcu Cina.  Dato’ Bentara Luar adalah orang Melayu yang pertama membuat peta yang lengkap dan bertulisan jawi.  Ketepatan ukuran dalam peta ini telah disahkan dan diakui oleh pakar-pakar Jabatan Ukur di London.  Dato’ Bentara Luar yang meninggal dunia pada hari ini dalam tahun 1915, sesungguhnya telah banyak meninggalkan bakti kepada negeri Johor.  Kerana bakti sebagai seorang tokoh budaya, pentadbiran dan pembangunan negeri Johor, beliau telah diberi gelaran sebagai Arkitek Pembangunan Johor Moden.

 


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768