Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam

Date Date

19
Aug
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

DYTM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ditabalkan Sebagai Raja Muda Selangor

Pada hari ini dalam tahun 1970, DYTM Tengku Idris Shah anakanda sulung Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah ditabalkan dengan rasminya menjadi Raja Muda Selangor.  Istiadat pertabalan berlangsung di Balai Rongseri, Istana Alam Shah, Kelang dan disaksikan oleh kira-kira 500 orang terdiri daripada pembesar-pembesar negeri, dif-dif kehormat dan orang-orang kenamaan. Istiadat pertabalan dimulakan dengan keberangkatan tiba DYTM Tengku Idris dengan diiringi oleh 2 orang pembesar dan nobat telah dipalukan mengikut lagu ’Iskandar’. Surat sumpah pertabalan kemudiannya dibaca oleh Tengku Andika Seri Amar di-Raja Tengku Shamsuddin Shah, Penghulu Adat Istiadat Selangor sebaik sahaja Tengku Idris tiba di hadapan duli-duli Sultan dan Tengku Ampuan. Tengku Idris kemudian melafazkan ikrar taat setia serta menjunjung duli-duli Sultan dan Tengku Ampuan. Baginda seterusnya menandatangani ikrar tersebut dengan disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, bagi pihak kerajaan negeri, Dato’ Mufti bagi pihak Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor dan Ungku Panglima di-Raja bagi pihak Orang-Orang Besar Selangor. Istiadat menerima keris kebesaran Raja Muda daripada Sultan adalah kemuncak istiadat pertabalan baginda. Serentak itu juga tembakan meriam sebanyak 11 das telah dilepaskan.  Istiadat pertabalan sebagai Raja Muda berakhir dengan istiadat Menjunjung Duli ke Bawah DYMM Sultan dengan membawa persembahan. Tengku Idris Shah telah diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Kelang (sekarang Kolej Islam Kelang). Baginda memulakan alam persekolahannya di Sekolah Princes Road (sekarang Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda) pada tahun 1952.  Baginda  melanjutkan pelajaran ke St. John Institution dan kemudiannya memasuki Hale School, Perth, Australia. Baginda seterusnya melanjutkan pelajaran di London mengambil diploma jurusan Pendidikan Masyarakat dan Pelajaran. Sebelum ditabalkan sebagai Raja Muda, Tengku Idris pernah diamanahkan menjadi Yang Dipertua Jemaah Pemangku Raja sewaktu Sultan Selangor mengadakan lawatan ke luar negara. Untuk melengkapkan diri sebagai Raja Muda, Tengku Idris telah mengikuti latihan Pegawai Pentadbiran di ibu pejabat Kerajaan Selangor. Keazaman Raja Muda ini ialah ingin mendampingi rakyat jelata seperti mana yang telah dilakukan oleh ayahanda baginda Sultan Selangor.  


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768