Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Jawatankuasa Penganjur Universiti Kebangsaan Mengadakan Pertemuan Membincangkan Penubuhannya

Pada hari ini dalam tahun 1968, sebuah Jawatankuasa penganjur penubuhan Universiti Kebangsaan telah mengadakan satu pertemuan penting.  Pertemuan yang menggabungkan para cendikiawan Melayu, Ahli-ahli akademik Melayu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, Persatuan Pelajar-pelajar Islam, beberapa persatuan guru semenanjung, guru agama, guru sekolah-sekolah kebangsaan, ahli-ahli politik dari parti-parti politik Melayu, tokoh-tokoh bahasa dan orang-orang yang berminat dalam soal bahasa Kebangsaan telah bersatu tenaga dan pemikiran dalam pertemuan rasmi yang bersejarah ini membincangkan mengenai penubuhan Universiti Kebangsaan. Rancangan untuk menubuhkan sebuah universiti Bahasa Melayu sepenuhnya telah mula dibincangkan sejak tahun-tahun 1950-an lagi.  Hasrat rakyat yang mencintai Bahasa Melayu ini mula disuarakan dengan lantang sekitar tahun 1960-an melalui perbincangan, seminar dan pertemuan-pertemuan oleh cendekiawan Melayu, ahli politik dan persatuan-persatuan Melayu. Sebagai usaha merealisasikan hasrat penubuhan sebuah Universiti Kebangsaan tersebut, ahli-ahli yang hadir dengan semangat cintakan Bahasa Melayu ini telah membincang dan membahaskan konsep tujuan, kepentingan sebuah Universiti Kebangsaan di negara ini. Perbincangan yang diadakan pada jam 8.00 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah diketuai oleh Tuan Syed Nasir Ismail. Di akhir pertemuan, jawatankuasa penganjur telah menggariskan keputusan-keputusan yang telah dicapai iaitu sebuah Universiti Kebangsaan mesti ditubuhkan segera memandangkan;

  • Tidak ada penampungan yang sesuai di peringkat universiti bagi pelajar-pelajar sekolah kebangsaan
  • Kurangnya tempat untuk pengajian tinggi bagi pelajar berkelayakan di negeri ini
  • Tidak ada usaha kontrit dan universal yang sedia ada untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pelajar aliran kebangsaan
  • Perlunya perlaksanaan sepenuhnya Dasar Pelajaran Kebangsaan yang hendak menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama.

 

Serentak dengan itu, satu Jawatankuasa Kerja Universiti Kebangsaan telah ditubuhkan dan bertugas untuk meneruskan projek Universiti berkenaan.  Akhirnya hasil daripada usaha gigih Jawatankuasa penganjur dan pemaju serta kesedaran penganjur Bahasa Melayu untuk melihat sebuah menara gading yang menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya menjadi kenyataan pada 18 Mei 1970 apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan rasminya ditubuhkan. Pada hari ini UKM megah berdiri setanding dengan universiti-universiti lain bukan sahaja dalam negeri malah universiti-universiti luar negara.

 

 

 


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768