Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam

Date Date

24
Sep
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Keris Mas Diumumkan Sebagai Pemenang Anugerah Sastera Negara Yang Pertama

Pada hari ini dalam tahun 1981, Tuan Haji Kamaluddin Mohammad atau dikenali dengan nama penanya Keris Mas telah diumumkan sebagai Pemenang Anugerah Sastera Negara yang pertama. Pengumuman telah dibuat oleh YB Dato' Musa Hitam, Menteri Pelajaran Malaysia selaku Pengerusi anugerah tersebut. Anugerah Sastera Negara yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Hussien Onn, merupakan anugerah tertinggi negara kepada para sasterawan yang telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanahair. Majlis penyampaian anugerah tersebut dilakukan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bangunan Parlimen. Dato' Musa Hitam di majlis pengumuman tersebut menganggap Keris Mas sebagai seorang pengukir bahasa yang telah mencapai peringkat puitis. Keris Mas telah berjaya merakamkan arus waktu dan gelombang sejarah yang dilihat dan dialaminya.  Pemenang Anugerah Sastera Negara menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, sebuah warkah penghormatan negara yang ditandatangani oleh Perdana Menteri dan Dato' Musa Hitam, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta serta kemudahan untuk menerbitkan karya. Di samping itu, pemenang juga akan mendapat kemudahan perubatan percuma di Wad Kelas Satu di mana-mana hospital sepanjang hayat. Sesungguhnya, pengumuman Keris Mas sebagai pemenang pertama Anugerah Sastera Negara pada hari ini dalam tahun 1981 menunjukkan penghargaan negara kepada sasterawan. Ia akan membawa satu cabaran kepada sasterawan untuk melibatkan diri memperkayakan lagi sastera tanahair.

 

 


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768