Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Kongres Pertubuhan-Pertubuhan Siasah Melayu Berlangsung

Pada hari ini dalam tahun 1953, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO telah menganjurkan Kongres Pertubuhan-Pertubuhan Siasah Melayu di Johor Baharu, Johor.  Objektif kongres adalah untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada pertubuhan-pertubuhan siasah Melayu dalam usaha menuntut Pilihanraya Persekutuan diadakan pada tahun 1954 sebagai langkah awal ke arah menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Desakan menuntut diadakan Pilihanraya Persekutuan ini dicapai dalam Persidangan Agung UMNO di Melaka yang diadakan pada 4 April 1953 dengan mendapat sokongan daripada MCA dan seterusnya menjadi tuntutan perikatan keseluruhannya. UMNO telah menganjurkan satu perjumpaan dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu di Johor Baharu untuk mendapat lebih banyak sokongan. Sebanyak 10 buah pertubuhan Melayu telah hadir iaitu UMNO, Persatuan Islam SeMalaya, Persatuan Melayu Semenanjung A dan B, Gabungan Persekutuan Pemuda Melayu Kelantan, Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan, Kesatuan Melayu Singapura, Lembaga Kesatuan Melayu Johor, Kesatuan Melayu Johor dan Pertubuhan Graduan Melayu. Kongres telah dipengerusikan oleh YB Datuk Haji Mohamad Noh bin Omar. Dalam kongres ini, UMNO telah menjelaskan sebab-sebab diadakan Perikatan dengan MCA serta menerangkan cara-cara yang difikirkan baik untuk mencapai kemerdekaan dengan jalan yang aman dan tidak menumpahkan darah. Sungguhpun kongres ini tidak mencapai apa-apa keputusan, namun ianya berjaya menyatukan pertubuhan-pertubuhan Melayu di Tanah Melayu ini demi kebaikan bangsa dan negara di samping dapat berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam kalangan pemimpin-pemimpin pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain.


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768