Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Penubuhan Persatuan Penulis Nasional (PENA)

Pada hari ini dalam tahun 1961, Persatuan Penulis Nasional atau ringkasnya PENA, telah dirasmikan penubuhannya oleh YB Encik Abdul Rahman Talib, Menteri Pelajaran waktu itu, dalam satu persidangan yang dihadiri oleh kira-kira 65 orang penulis bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kelahiran persatuan ini adalah sesuai pada masanya dan sejajar dengan perkembangan dan perubahan-perubahan baru yang terdapat dalam negara. Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang berdaulat kerana baru beberapa tahun sahaja mencapai kemerdekaan. Pusat kegiatan politik, ilmu pengetahuan dan kebudayaan telah berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Universiti Malaya bukan lagi di Bukit Timah tetapi mempunyai tapak baru di Lembah Pantai; demikian juga dengan jabatan Pengajian Melayu dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, (PBMUM). Markas surat-surat khabar dan majalah turut terlibat dalam perpindahan ke utara. Semua ini mempunyai pengaruh dan galakan yang sihat kepada pertumbuhan dan kegiatan-kegiatan kebudayaan dan kesusasteraan kebangsaan. Ia juga memberi nafas dan semangat serta kepercayaan baru kepada penulis mengenai tanggungjawab mereka dalam usaha-usaha mengisi kemerdekaan melalui kesusasteraan serta kesedaran untuk membela marwah dan hak-hak kaum sasterawan. Tokoh-tokoh penulis yang menjadi pengasas PENA ialah Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Ali Haji Ahmad (Allahyarham), A. Samad Ismail, Said Zahari, S. Husin Ali, Usman Awang (Tongkat Warrant) dan Yusuf Hitam. Mereka ini juga menjadi penggerak utama persatuan selain daripada tokoh-tokoh seperti Noor Azam, Hassan Ibrahim, Bakar Hamid, Adam Kadir, Salleh Daud, Omar Mohd. Hashim, Hassan Ahmad, Baha Zain, Kassim Ahmad dan Abdullah Hussein. Kegiatan-kegiatan persatuan ini meliputi bidang penerbitan majalah, (SUARA PENA, PENULIS) ceramah, forum, diskusi buku, mengadakan kursus penulisan kreatif kepada bakat-bakat baru, seminar, pameran buku dan membuat lawatan-lawatan sambil belajar ke luar negeri. Isu-isu terpenting yang telah diperjuangkan oleh PENA ialah mengenai penubuhan Universiti Kebangsaan; taraf, kedaulatan dan perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; soal hak-cipta, serta penyusunan semula kursus-kursus di jabatan Pengajian Melayu. PENA dianggotai oleh ahli yang terdiri daripada para penulis, sasterawan, wartawan dan pensyarah-pensyarah universiti.  


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768