Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Perasmian Jalan Keretapi Kayu Pertama Di Johor

Pada hari ini dalam tahun 1869, Sultan Abu Bakar telah merasmikan Jalan Keretapi Kayu yang pertama di Johor Bahru. Jalan Keretapi Kayu ini menghubungkan Johor Bahru dengan Gunung Pulai. Turut hadir dalam upacara ini ialah penduduk-penduduk Johor dan beberapa orang rakyat Singapura. Pembinaan landasan keretapi kayu ini adalah hasil daripada cadangan Sultan Abu Bakar sendiri, iaitu setelah beberapa tahun beliau kembali dari melawat England. Pembinaan jalan keretapi ini adalah bagi memenuhi 2 matlamat iaitu; pertama, sebagai jalan penghubung Gunung Pulai dengan Johor Bahru yang merupakan  satu jalan untuk sampai ke kawasan pergunungan. Kedua, untuk membuka lebih banyak tanah-tanah baru di sepanjang jalan tersebut untuk tujuan perdagangan pertanian, terutamanya tanaman gambir dan lada hitam. Jalan keretapi kayu yang dibina ini telah menghubungi Johor Bahru dengan Gunung Pulai iaitu sejauh 17 ½  batu (30.4 km). Landasan yang dibina ini selebar 3 kaki (0.91 m), sementara lokomotifnya pula terdiri daripada jenis enjin ’Farlie double-bogie’.  Kayu-kayu yang dijadikan pelapik-pelapik landasan adalah diambil dari hutan berhampiran landasan tersebut. Pelapik-pelapik itu dipilih dari jenis kayu keras, berbentuk bulat, sepanjang 6 ½ kaki (1.98 m), Pelapik-pelapik itu diatur satu persatu dalam dua jarak iaitu 4 inci dan 6 inci (10.15 cm dan 15.22 cm). Landasannya pula terdiri daripada kayu berminyak dan keras yang berukuran 10 kaki panjang, 5” lebar dan 4” tinggi (3.048 m panjang, 12.69 cm lebar dan 10.15 cm tinggi). Jalan Keretapi kayu yang dibina ini menggunakan kira-kira sebanyak 1760 batang pelapik kayu atau sejumlah 90 tan kayu balak bagi setiap satu batu (1.6 km). Kerja-kerja pembinaan jalan keretapi kayu ini telah dilakukan oleh buruh Cina, Jawa dan orang Melayu Johor. Buruh Cina menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tanah dengan upah yang dibayar sebanyak 22 sen sehari. Buruh-buruh Jawa pula menjalankan kerja meletakkan pelapik dan landasan dengan $5.20 sebulan, sementara orang-orang Melayu Johor yang mahir dalam kerja-kerja pengambilan kayu-kayu balak diupah untuk mendapatkan kayu-kayu pelapik dengan upah sebanyak $5.20 sebulan juga. Perbelanjan bagi setiap 1 batu (1.6 km) pula ialah sebanyak $2000. Sesungguhnya jalan keretapi kayu yang pertama kali dibina dalam tahun 1869 di Johor ini adalah seperti jalan keretapi yang dibina di Clifton, New York. Dengan terbinanya landasan keretapi ini juga telah meningkatkan hasil gambir dan lada hitam disamping membuka lebih banyak tanah-tanah baru untuk pertanian.


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768