Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Perasmian Pembukaan Rancangan AIr Sungai Muda Pulau Pinang

Pada hari ini dalam tahun 1973, Perdana Menteri, YAB Tun Haji Abdul Razak bin Haji Hussein telah merasmikan pembukaan Fasa Pertama Rancangan Air Sungai Muda di Sungai Dua, Pulau Pinang. Rancangan Air Sungai Muda telah dimulakan pada tahun 1965 apabila kerajaan Negeri Pulau Pinang menugaskan jurutera-jurutera Perunding Binnie & Partners (Malaysia) untuk menjalankan kajian permulaan mengenai perbekalan air yang baru ke negeri Pulau Pinang.Berikut dari kajian itu satu laporan telah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada tahun 1967. Laporan itu mencadangkan supaya satu rancangan kemajuan bekalan air tiga peringkat yang pada akhirnya akan dapat menghasilkan bekalan air sebanyak 455 juta liter sehari dari Sungai Muda. Cadangan tersebut telah diterima dan pada tahun 1968 perancangan teliti bagi membina peringkat pertama Rancangan Air Sungai Muda itu telah dijalankan. Rancangan fasa pertama ini boleh menghasilkan 136.5 juta liter air sehari. Pembinaan peringkat pertama ini telah dijalankan pada bulan November tahun yang sama dan menelan belanja sejumlah $42 juta. Rancangan Air Sungai Muda ini meliputi sebuah tempat pengambilan air dari Sungai Muda. Ia dilengkapi dengan sebuah stesen pam-angkat yang didirikan di atas tanah tinggi. Dalam ucapan perasmiannya, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa projek Rancangan Air Sungai Muda ini merupakan satu projek yang berani dan untuk jangka masa panjang. Projek ini dapat menarik lebih banyak perindustrian di samping memberi bekalan air yang mencukupi.Dalam suasana negara yang sedang berkembang pesat dalam bidang perindustrian dan perbandaran (urbanisation) pembinaan rancangan air ini amatlah perlu. Rancangan Air ini juga sebagai penampung kepada bekalan air yang sedia ada dan seterusnya perancangan skim ini akan dapat memenuhi keperluan air negeri Pulau Pinang untuk jangka masa yang panjang.


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768