Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Perjanjian Inggeris Dengan Sultan Kedah

Pada hari ini dalam tahun 1800 satu Perjanjian Persahabatan dan Perikatan telah dipersetujui dan ditandatangani di antara Sir George Leith, Leftenan Gabenor Inggeris di Pulau Pinang yang mewakili Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Yang di-Pertuan Raja Muda Perlis dan Kedah, pegawai-pegawai negeri dan ketua-ketua bagi kedua-dua negeri.

Di antara perkara-perkara penting yang dipersetujui ialah:

  • Syarikat Inggeris bersetuju membayar kepada Duli Yang Dipertuan Raja Muda Kedah/Perlis sejumlah 10 ribu dollar setiap tahun selagi Inggeris menguasai Pulau Pinang dan kawasan pantai bersetentangan dengan Pulau Pinang.
  • Duli Yang Dipertuan bersetuju menyerahkan kepada Inggeris semua kawasan pantai di antara Kuala Krian dan tebing sungai kawasan Kuala Muda hingga ke daratan sejauh 60 orlong (6400 ela persegi atau kira-kira 1 1/3 ekar). Syarikat Inggeris akan mengawal kawasan pantai tersebut dari musuh, perompak dan lanun yang mungkin datang dari arah utara ke selatan.
  • Duli Yang di-Pertuan bersetuju bahawa semua jenis bekalan yang dibeli di Kedah dan Perlis untuk keperluan Pulau Pinang, kapal-kapal perang dan kapal-kapal kepunyaan Syarikat tidak akan ditahan atau tertakluk kepada Cukai atau Kastam; semua perahu yang datang dari Pulau Pinang untuk mendapatkan keperluan di Perlis dan Kedah akan dikehendaki mempunyai pasport yang betul supaya ianya tidak dikenakan cukai.
  • Duli Yang di-Pertuan bersetuju tidak akan membenarkan orang-orang Eropah dari negara lain menetap di mana-mana jajahan takluknya.
  • Pihak Syarikat Inggeris bersetuju tidak akan menerima orang-orang yang telah melakukan penentangan atau menderhaka terhadap Duli Yang di-Pertuan.
  • Orang-orang yang bersalah melakukan pembunuhan yang lari dari Perlis dan Kedah ke Pulau Pinang atau sebaliknya mestilah diserahkan dengan ikatan jamin.
  • Orang-orang yang mencuri cap mohor (pemalsuan) hendaklah diserahkan dengan sewajarnya.
  • Kesemua orang Yang di-Pertuan yang membawa barang-barang hasil negeri pergi ke Kuala tidak akan dirampas atau ditahan oleh orang pihak Syarikat.
  • Barang-barang yang diperlukan oleh Yang di-Pertuan dari Pulau Pinang akan disediakan oleh Syarikat Inggeris dan bayarannya akan ditolak dari bayaran saguhati.
  • Sebaik-baik sahaja perjanjian ini diperakui, bayaran saguhati yang perlu dibayar kepada Yang di-Pertuan menurut sepertimana Perjanjian dan Persetujuan yang terdahulu mestilah dibayar secepat mungkin.
  • Di atas pengiktirafan Perjanjian ini semua perjanjian yang terdahulu adalah terbatal dan tidak sah.

Dengan perjanjian ini negeri-negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah tercantum menjadi sebuah negeri. Perjanjian ini telah diluluskan dan disahkan oleh Gabenor-Jeneral Yang Bertugas, pada bulan November, 1802.

 


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768