Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Sultan Ahmad Menerima Kod Undang-undang Inggeris

Pada hari ini dalam tahun 1888, Sultan Ahmad, Sultan Pahang telah menerima Kod Undang-Undang Inggeris yang telah digubal oleh wakil Inggeris, Hugh Clifford. Tujuan Hugh Clifford ialah untuk menggantikan undang-undang Melayu dengan undang-undang Barat dalam jentera pentadbiran negeri Pahang. Inggeris memang telah lama berniat untuk campur-tangan di negeri Pahang seperti telah dilakukannya di negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong. Usaha Andrew Clarke untuk menjajah negeri Pahang telah diteruskan oleh Governor Negeri-negeri Selat, Willian Jerviors, Federick Weld dan Cecil C. Smith. Di awal tahun 1887, Federick Weld telah menghantar anak saudaranya, Hugh Clifford ke Pahang dan mendesak Bendahara supaya Sultan Ahmad membuat perjanjian persahabatan dengan Inggeris. Akhirnya dengan bantuan Dato Menteri Johor, Syed Alsagoff yang kebetulan berada di Pahang, Hugh Clifford berjaya mendapatkan surat persetujuan Sultan Ahmad untuk membuat perjanjian persahabatan. Sultan Ahmad menegaskan bahasa perjanjian itu nanti mestilah seperti Perjanjian Johor-Inggeris tahun 1885. Pada 6 Oktober, 1887 Perjanjian Pahang Inggeris telah ditandatangani oleh kedua belah pihak. Dengan termeterinya dokumen tersebut, maka Inggeris telah melantik Hugh Clifford sebagai wakil Inggeris di negeri Pahang. Walau bagaimanapun, Gabenor Negeri-negeri Selat tidak berpuas-hati dengan Perjanjian 1887 kerana wakil Inggeris tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi Sultan dan membuat pembaharuan. Hugh Clifford berpendapat bahawa kezaliman dan perhambaan berleluasa di negeri Pahang dan beliau mendesak supaya undang-undang baru digubal. Pada 17 Disember 1887, Sultan Ahmad telah menitah Tok Gajah dan Imam Perang Indera Mahkota supaya berunding dengan Hugh Clifford.  Dalam perjumpaan ini wakil Inggeris itu telah mencadangkan tiga perkara:

  • Pertama - sebuah kod undang-undang yang berdasarkan undang-undang Barat dan negeri Johor mestilah digubal untuk negeri Pahang.
  • Kedua - sebuah Mahkamah Tinggi mestilah didirikan di Pekan.
  • Ketiga - kuasa untuk melaksanakan Kod Undang-undang mestilah diberikan kepada Orang-orang Besar dan Ketua-ketua Kampung.

Cadangan-cadangan Hugh Clifford kemudiannya telah dipersetujui oleh Sultan Ahmad dan memerintahkan Hugh Clifford supaya merangka undang-undang tersebut kecuali mengenai perhambaan.  Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1888 undang-undang baru telah dikemukakan kepada Sultan Ahmad dan diterima sebagai undang-undang Inggeris di negeri Pahang.


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768