Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Syarikat Hindia Timur Belanda Mematahkan Bantuan Perang Johor - Pahang Kepada Raja Patani

Pada hari ini dalam tahun 1634, Syarikat Hindia Timur Belanda telah mengerahkan kapal-kapal perangnya menghalang angkatan Johor-Pahang memberi bantuan kepada Raja Patani menetang kerajaan Siam.Raja Patani yang mempunyai pertalian darah dengan Sultan Pahang telah meminta bantuan baginda untuk menentang kerajaan Siam yang telah memaksa Raja Patani tunduk dan menghantar ufti kepada Kerajaan Siam. Kerajaan Johor-Pahang telah memberi bantuan 50 buah kapal dan 5,000 orang tentera tetapi malangnya negeri Pahang sendiri telah dilanggar oleh angkatan Belanda kerana sebelum ini Belanda telah berjanji dengan Siam untuk membantunya dari serangan kerajaan Johor-Pahang, Portugis dan lain-lain demi kepentingan perdagangan Belanda di Siam. Pada tahun 1635, Pahang dilanggar sekali lagi oleh angkatan Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda kerana menolong Patani yang dianggap oleh Baginda sebagai Wilayah Siam yang menjadi musuh Acheh dalam krisis pertuanan negeri Kedah dan juga kerana Pahang telah membantu Portugis ketika Acheh menyerang Melaka pada tahun 1629. Peperangan-peperangan tiga segi sering berlaku di antara Acheh, Portugis-Melaka dan Johor-Pahang. Acheh dan Pahang akhirnya berdamai setelah Sultan Iskandar Muda mangkat pada tahun 1636 dan digantikan oleh Sultan Iskandar Thani putera Sultan Pahang yang telah berkahwin dengan puteri baginda Acheh. Pada 16 Mac 1637, Pahang berbaik semula dengan Belanda untuk mendapatkan bantuan Belanda menyerang Portugis di Melaka dan satu perjanjian telah ditandatangani di Pahang. Perjanjian ini telah ditentang oleh Sultan Acheh, Sultan Iskandar Thani pada tahun 1638, kerana baginda menganggap Johor-Belanda adalah jajahan Acheh dan tidak berkenan Belanda campurtangan dalam usaha menggusir Portugis dari Melaka untuk mengembalikan keagungan kesultanan Melayu yang kini berpusat di Acheh. Penentangan ini juga disebabkan baginda mengetahui tujuan sebenar Belanda yang sama seperti Portugis, iaitu untuk memonopoli perdagangan Selat Melaka. Walau bagaimanapun baginda tetap berdiplomasi dengan menganggap Belanda hanya sebagai sahabat. Perang tiga segi antara Acheh, Portugis-Melaka dan Johor-Pahang berakhir apabila Sultan Iskandar Thani mangkat pada tahun 1641 dan Belanda mengambil kesempatan atas kemangkatan baginda dengan mengalahkan Portugis dan menguasai Melaka pada tahun yang sama.


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768