Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS PASAR PERNIAGAAN MERDEKA (MERDEKA TRADE FAIR)

Pada hari ini dalam tahun 1957, satu upacara perletakan batu asas Pasar Perniagaan Merdeka telah diadakan di Petaling Jaya Selangor. Upacara ini dilakukan oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dalam ucapannya, YTM Tunku telah mengucapkan tahniah kepada Dewan Perniagaan Melayu Muda kerana menganjurkan Pasar Perniagaan ini bersempena dengan sambutan perayaan Hari Kemerdekaan yang akan disambut pada 31 Ogos. Usaha seumpama ini menurut Tunku akan menambahkan lagi daya tarikan kepada perayaan kemerdekaan serta satu galakan kepada pengusaha-pengusaha bumiputera  mengambil bahagian dalam perusahaan dan perniagaan di negara ini demi memenuhi hasrat Kerajaan dan rakyat ke arah pembangunan negara.  Selain pengusaha-pengusaha tempatan seperti pengeluar-pengeluar bijih timah, getah dan lain-lain, turut mengambil bahagian dalam Pasar Perniagaan Merdeka ini ialah syarikat-syarikat yang dimiliki oleh negara-negara asing. Ini membuktikan bahawa mereka mula menaruh kepercayaan terhadap perkembangan ekonomi negara ini sekaligus dapat mengeratkan rasa muhibah dan persefahaman negara-negara luar dengan Persekutuan Tanah Melayu. YTM Tunku menyeru semua pemuda di negara ini supaya terus berusaha meningkatkan kedudukan ekonomi dan kesejahteraan negara melalui penglibatan secara serius dalam perusahaan-perusahaan perindustrian dan perniagaan baik di dalam negeri juga dengan negara-negara luar.

 


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768