Skip to Content
English Bahasa Melayu
 

Kebolehcapaian

K  R  B  cbiru  chitam  cputih  chitam
  

Juga Pada Hari Ini.. Juga Pada Hari Ini..

Peristiwa Peristiwa

Back

Lawatan Ratu Elizabeth Kedua Ke Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1972, Ratu Elizabeth kedua dari Britain bersama suaminya Putra Philip dan anak perempuannya Puteri Anne telah tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan.  Pesawat yang membawa rombongan Diraja ini tiba pada jam 11.00 pagi untuk lawatan selama enam jam dan telah disambut oleh DYMM Sultan dan Raja Perempuan Kelantan dalam suasana meriah.  Turut serta mengalu-alukan rombongan Diraja ini ialah YMM Tengku Mahkota dan Tengku Puan Mahkota Kelantan; Menteri Besar, Dato’ Asri b. Hj. Muda dan isteri Datin Sakinah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nik Sulaiman b. Nik Daud.  Rombongan Diraja ini telah diiringi bersama oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia iaitu Encik Johnston dan Menteri Pengiring ialah Dato’ Hamzah b. Abu Samah dan isteri Toh Puan Hajjah Zainon.  Pelbagai program telah diatur sempena lawatan ini di antaranya ialah melawat ke Pusat Pertukangan Perak dan Kerjatangan dan Kilang Batik di Kampong Puteh.  Di sini rombongan Diraja ini telah diberi penerangan dan berpeluang melihat kerja-kerja pertukangan perak dan mengecap batik dilaksanakan.  Selain itu, rombongan ini juga telah dibawa melawat ke kawasan perkelahan yang masyhur di Kelantan iaitu Pantai Cinta Berahi.  Beberapa acara kebudayaan tempatan telah diperlihatkan di antaranya ialah permainan gasing, wau, memetik kelapa dan pertunjukkan silat.  Ratu Elizabeth juga telah dihadiahkan beberapa cenderamata buatan tempatan termasuklah batik berbentuk wayang kulit dan sebuah set peralatan minuman diperbuat daripada perak sebagai menghargai lawatan baginda.  Sesungguhnya lawatan ini telah mewujudkan suasana riang dan berpesta di kalangan rakyat di Kelantan dan merupakan satu penghormatan yang besar ertinya.


Pihak Kerajaan dan Arkib Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan Mozilla Firefox versi 3.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768