LEMBAGA LETRIK NEGARA DITUBUHKAN

Pada hari ini dalam tahun 1949, Lembaga Letrik Negara (LLN) telah ditubuhkan dengan rasminya sebagai sebuah badan berkanun di negara ini.  LLN ditubuhkan di bawah Ordinan Elektrik No. 30 tahun 1949. Sebelum penubuhan LLN, bekalan elektrik dikendalikan oleh Jabatan Letrik di bawah Jabatan Kerja Raya sehingga menjadi sebuah jabatan sendiri pada 1 Januari 1947. Sejarah penggunaan elektrik di negara ini bermula pada 1904 dimana bekalan elektrik pertama disalurkan di Pulau Pinang diikuti dengan Kuala Lumpur pada 1905. Penggunaan elektrik terus berkembang dengan pembinaan beberapa empangan hidro elektrik antaranya empangan di Malim Nawar dan Cenderoh yang dibina pada tahun 1928 dan 1929. Berikutan kemajuan Negara dan keperluan terhadap tenaga elektrik yang semakin bertambah, LLN ditubuhkan bagi mengawal dan mentadbir polisi-polisi berkaitan dengan bekalan elektrik. Dengan penubuhan Lembaga Letrik Negara ini, penggunaan tenaga elektrik dapat dikawal dan diperluaskan keseluruh Negara.

Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia