Penubuhan Malayan Union

Pada hari ini dalam tahun 1946 bermulanya sistem pentadbiran awam yang diisytiharkan sebagai Malayan Union. Penubuhan Malayan Union adalah bertujuan untuk menjadikan sebelas negeri termasuk Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri jajahan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Walaubagaimanpun penubuhan Malayan Union mendapat tentangan daripada orang Melayu. Antara sebab penentangan orang Melayu adalah seperti pengurangan bidang kuasa Raja-raja Melayu yang diambil alih oleh Gabenor Malayan Union. Kedudukan agama islam, perlaksanaan ‘Jus Soli'  iaitu  pemberian taraf kerakyatan kepada sesiapa saja yang dilahirkan di Tanah Melayu selepas penubuhan Malayan Union dan beberapa perkara lain. Kemuncak kemarahan orang Melayu apabila tindakan Sir Harold MacMichael memaksa Raja-raja Melayu dalam mendapatkan tandatangan dan persetujuan untuk menubuhkan Malayan Union. Beberapa parti politik ditubuhkan seperti UMNO bagi menzahirkan penentangan ini. Keadaan ini akhirnya telah memaksa pihak kerajaan British mencari penyelesaian dengan mengadakan rundingan dengan pihak UMNO dan Raja-raja Melayu. Sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada empat orang wakil Raja-raja Melayu, dua orang wakil UMNO dan enam orang pegawai kanan British telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah diberi mandat untuk merangka perlembagaan baru bagi menggantikan Malayan Union. Laporan Jawatankuasa Kerja yang telah dikeluarkan menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1 Februari 1948 Persekutuan Tanah Melayu telah ditubuhkan. Dengan lahirnya Persekutuan ini maka Malayan Union telah dibubarkan.