SISTEM EJAAN BAHARU RUMI BAHASA MALAYSIA DILANCARKAN
Posted by on 15/10/2008 10:53:10

Pada hari ini 16.8.1972,  Sistem Ejaan Baharu bagi Bahasa Malaysia-Indonesia telah dilancarkan penggunaannya oleh Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Turut hadir di upacara pelancaran ini Menteri Pelajaran, Encik Hussein Onn dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Haji Sujak bin Rahiman dan Tan Sri Syed Nasir Ismail. Pelancaran penggunaan sistem Ejaan yang baharu ini adalah hasil dari persetujuan di antara Malaysia dan Indonesia di mana sejak dulu lagi bercita-cita untuk menyediakan suatu sistem ejaan yang sama dengan menggunakan bahasa yang sama yang boleh memberi faedah kepada kedua-kedua negara. Perkembangan tulisan rumi ini bermula pada tahun 1902 apabila tulisan rumi yang pertama telah disusun oleh Jawatankuasa Ejaan R.J. Wilkinson. Sistem ini kemudiannya telah diperbaiki oleh Pendita Zaaba.  Sistem Ejaan yang disusun oleh Zaaba ini atau dikenali juga dengan nama Sistem Ejaan Sekolah telah dijadikan tulisan rasmi sehingga beberapa tahun. Pada tahun 1956, terbentuk suatu sistem ejaan dinamakan Ejaan Kongress hasil dari Kongress Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Singapura dan Johor Bahru. Malangnya Ejaan Kongress ini tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat beberapa huruf di dalam sistem ini agak sukar untuk diikuti. Pada tahun 1966, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bahasa dan Ejaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Nasir Ismail. Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa perundingan dengan pihak Indonesia. Akhirnya tercapai persetujuan oleh kedua-kedua buah negara untuk menggunakan ejaan baharu yang dikenali dengan nama "Sistem Ejaan Bersama Malaysia/Indonesia" yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 27 Jun 1967. Tetapi malangnya perlaksanaan sistem Ejaan Bersama ini telah ditangguhkan.  Pada bulan Jun 1972, satu rombongan Malaysia yang diketuai oleh Tuan Haji Sujak bin Rahiman telah pergi ke Indonesia untuk mengadakan rundingan dengan Pendita Ejaan Bahasa Indonesia yang diketuai oleh Ibu Mulyadi. Hasilnya kedua-kedua pihak bersetuju berdasarkan kepada semangat keputusan 1967. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1972, dengan persetujuan kedua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia, Sistem Ejaan Rumi bagi Bahasa Malaysia-Indonesia telah dilancarkan penggunaanya. Dengan adanya sistem ejaan baharu ini, tidak akan timbul lagi masalah sistem ejaan yang harus diikuti dan digunakan terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah dan ejaan rumi media-masa di negara ini.